Perkahwinan dari segi bahasa bermaksud 'berkumpul, bercampur atau bercantum'. Pada istilah syara' pula bermaksud, 'Akad yang menghalalkan persetubuhan atau hubungan jenis di antara lelaki dan perempuan pada lafaz yang diucapkan yang membawa maksud nikah dengan mengikut peraturan serta syarat yang telah ditetapkan oleh syara'.
Dalam sebuah ikatan perkahwinan di samping rasa saling mencintai dan menghormati, perlunya saling memahami, saling pengertian, saling toleransi, saling memberi dan menerima, dan saling memaafkan. Ia bukan mengenai kuasa tetapi mengenai tolak ansur, ia bukan mengenai keegoaan tetapi kewajaran, ia bukan mengenai amarah tetapi kesabaran, ia bukan mengenai keaiban tetapi bimbingan. Bimbinglah aku, damaikanlah hatiku bila ku tiba-tiba resah, bila aku tiba-tiba merasa bimbang tidak keruan, kerana penenang hatiku adalah dirimu.
Perkahwinan bukan mengenai siapa salah dan siapa betul, tetapi ia lebih kepada penyesuaian yang memerlukan waktu bagi setiap pasangan yang cukup yakin untuk memegang kalimah Allah menjaga dan mempertahankan rumah tangga masing-masing. Sebuah perkahwinan bukanlah milik satu pihak melainkan ia didirikan atas dasar komitmen dua hati. Oleh yang demikian, dengan berbekalkan cinta dan tawakal kepada Allah, sebuah perkahwinan akan dapat menghadapi setinggi mana pun gelombang badai yang menghempasnya. Kuberharap dan berdoa, semoga ikatan perkahwinan ini sentiasa dalam keadaan rukun damai hendaknya, amin!




