Setelah hampir dua bulan berada di bumi Sydney, baru sekali ini aku berani melangkah jauh dari tempat tinggalku seorang diri. Menyingkap kenangan semester lepas, ke mana pun kupergi, suamiku tercinta akan selalu menemani. Tetapi, tanpa kehadiran suamiku itu, terasa sukar bagiku untuk bergerak jauh. Mungkin kerana kurang yakin dan mungkin kerana berada jauh dari rumah membuatkan aku merasa semakin jauh dari kenangan yang pernah kami bina bersama di rumah sempit kami itu. Secara tidak langsung, berjalan seorang diri itu menjadikan aku merasa sunyi. Tiada jemari mengenggam jemariku seperti selalu, tiada teman bicara sepanjang perjalananku. Walaupun perasaan itu tetap ada, tapi beberapa hari yang lepas aku sudah mula memberanikan diriku untuk melihat dunia dari sudut perspektif berbeza. Pada hari Jumaat lepas, sepatutnya aku pergi dengan beberapa orang rakan yang lain. Malangnya, mereka menarik diri di saat akhir, dan tinggallah aku dengan seorang rakan yang juga menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana. Sepanjang perjalanan, aku tetap terkenangkan suamiku. Seakan-akan aku merasa kehadirannya bersamaku. Sungguh dalam rinduku kepadanya, meskipun hingga ke saat ini.
Bagaimanapun, pengembaraan sehari itu, kulalui dengan mengukir kenangan baru..merakamkan beberapa foto sebagai kenangan. Tidak kusangka, aku berkesempatan lagi untuk melakukan aktiviti dulunya sering aku dan suami lakukan bersama, iaitu 'hiking'. Sekembali dari pengembaraan, kakiku terasa lelah dan sedikit sakit, mungkin muscle pain kerana lama tidak bersukan.
3 sisters dari jauh..
3 sisters secara dekat..puas mata memandang...




